Adaptasi Budaya Dalam Sastera Melayu


Menurut Sir Richard Winstedt yang menulis A History of Classical Malay Literature, Tun Sri Lanang yang mengarang (atau menyunting) Sejarah Melayu ialah seorang berdarah kacukan Melayu-India. Pendapat ini tidak pernah dipertikaikan secara serius oleh mana-mana akademia tempatan.

Hanya tuhan saja yang tahu kebenaran dakwaannya kerana ia dibuat 300 tahun selepas kemangkatan Bendahara Paduka Raja itu. Bagaimanapun, melalui pemerhatian terhadap naskah Sejarah Melayu, dan melalui beberapa kajian yang telah dibuat oleh UM dan UKM tidak dapat menyanggah pendapat orientalis terkemuka itu.

Amat cocok sekali penulis Sejarah Melayu berdarah kacukan, kerana naskah itu sendiri adalah naskah kacukan seperti kebanyakan naskah-naskah melayu lainnya. Penulis-penulis ‘melayu’ yang terulung seperti Sheikh Nuruddin ar Raniri dan Munshi Abdullah juga adalah golongan mamak yang berdarah melayu-india. Mereka mengambil dari sana sini kisah Iskandar Zulkarnain (Alaxander the Great?), hikayat-hikayat dari Parsi, dan dari semenanjung arab untuk dimelayukan seperti yang telah terjadi sejak zaman berzaman.


Sebelum tradisi penulisan sudah ada tradisi oral di tanah melayu. Kisah-kisah dongeng Mat Jenin dan Pak Kaduk, kisah sang kancil dan buaya juga adalah dongeng-dongeng yang dicakup daripada India dan Parsi kemudian dicelup warna coklat tanah sini. Malah kejadian flora dan fauna tempatan juga dikaitkan dengan keajaiban Sri Rama, Hanuman, Sita Dewi dan Laksemana daripada epik Ramayana. Leher bangau menjadi panjang kerana membantu Sri Rama mencari Sita Dewi dan asal pelepah daun pisang beralun kerana ditoreh oleh Laksemana.

Seperti sasteranya, bangsa dan budaya melayu itu sendiri adalah bangsa dan budaya adaptasi. Mula-mula keluhuran animisme kita dipaksa menerima pengaruh hindu dan buddha selama beribu tahun dan terakhir sekali islam sejak beberapa ratus tahun lepas. Bagaimanapun pengaruh baru tidak menghilangkan terus tapak lama sebaliknya tapak lama diadaptasi dan disesuaikan mengikut tuntutan. Adaptasi juga wajib supaya pengaruh baru akan mudah diterima. Dan ini bukanlah sesuatu yang jelik.

Ini bukanlah sesuatu yang jelik jika kita hanya memandang ke depan. Tapi jika kita menoleh sedikit ke belakang mencari keluhuran maka terpinga-pingalah kita mencari identiti melayu itu sendiri. Kerana itu sampai sekarang kita tidak dapat satu definisi tetap makna ‘Melayu’. Apabila makna ‘Melayu’ itu sendiri sukar ditetapkan, maka lebih sukar lagi menetapkan makna ‘Sastera Melayu’.

Adakah sastera melayu itu melingkupi semua bahan sastera yang ditulis dalam bahasa melayu? Hikayat Amir Hamzah yang ditulis dalam bahasa melayu tidak ada sekalipun menyebut tanah melayu, pohon-pohon tropika mahupun ayam-ayam kampung yang merupakan pemandangan harian masyarakat melayu ketika itu. Ia adalah sebuah karya padang pasir yang terbit juga dari mulut pasir. Hikayat Seri Rama yang bermain pedang dan menaiki kuda membuat dahi anak kecil berkerut kerana di hutan tropika tidak ada kuda, dan pahlawan melayu tidak pernah memakai pedang. Tapi kedua-duanya diangkat oleh Richard Winstedt sebagai mahakarya kesusateraan melayu.

Adaptasi perlu ada garis panduannya. Ini perlu disedari oleh penulis-penulis baru dan rasanya sudahpun disedari. Sastera sebenarnya adalah kenderaan budaya, sekaligus kenderaan pemikiran komuniti yang mengamalkan budaya itu. Sastera Melayu mestilah berpijak di bumi melayu, di tanah melayu dengan pohon-pohon dan binatang melayu untuk dicerna oleh seluruh masyarakat ‘melayu’.

Bagaimanapun mengkategorikan sastera mengikut ras adalah satu perbuatan yang dangkal kerana mengakategorikan manusia kepada ras itu sendiri adalah dangkal. Tetapi sesuatu bahan sastera, bila ia ditulis oleh seorang penulis daripada satu komuniti, perlulah memberi impak kepada komunitinya. Ini tanggungjawab. Seorang penulis melayu mestilah memberi impak pertamanya kepada komuniti melayunya dan kemudian barulah komuniti dunia.

Jembalang-jembalang kita sudah digantinama jadi jin itu dan jin ini dan ia bukanlah adaptasi yang tidak munasabah. Adaptasi perlulah sesuai dan boleh diterima umum dan ia mestilah tidak membongkar sesuatu budaya itu daripada akarnya.

Ada satu dasar yang dipelopori oleh Mahathir pada awal 80an tidak bersifat demikian. Ia adalah satu percubaan (yang berjaya walaupun ia dilakukan sekadar politik simbolik) untuk mencampakkan orang melayu daripada hutannya, jembalangnya, pawangnya, dan kampungnya ke satu benua jauh. Akibatnya ialah kecelaruan identiti. Adaptasi perlu ada batasnya, tetapi yang berlaku ketika itu bukanlah adaptasi sebaliknya satu gerakan penghapusan etnik.

Kini sudah tiba masanya kita menggali semula khazanah budaya kita yang tertimbus di dalam pasir. Tugas kita untuk meneruskan adaptasi mengikut keperluan zaman, tetapi mesti ingat! Melangkah ke depan jangan menghapuskan jejak-jejak di belakang.


6 comments:

Pa'al berkata...

hebat Raja..!

Mungkin apa yang boleh dilakukan oleh anak-anak melayu termasuk Raja sekarang adalah keluar ke kampung-kampung melayu terpencil mencari cerita-cerita rakyat yang berkisar hutan, pasir , tanah, hantu , jembalang, pawang dan segalanya yang jati melayu..lalu dibukukan jadi sebuah novel dewasa cerita rakyat, pasti ceritanya sangat bermutu tinggi dan akan dibanggakan bukan saja oleh masyarakat melayu tapi seluruh warga penulis kesusasteraan melayu...dan dunia.. :-)

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

aku setuju raja.

cumanya, kita banyak hasil karya hebat tetapi tidak diangkat selayaknya. Apa yang berlaku terhadap Pak Samad? Tepuk dada tanya DBP.

zu berkata...

kita boleh angkat. ada caranya...
tapi kena ada inisiatif sendiri, kumpulkan naskhah2 lama dan sisipkan sandi source.

jangan harapkan DBP seratus peratus. susah.

Naskah Percuma berkata...

Memang DBP x boleh diharap hahha.. mungkin satu hari kita kena buat artikel tentang "ketakboleharapan" DBP tu haha

Ampuan Awang berkata...

Menarik. Tahniah. Aku tumpang bangga tapi bab Pak Kaduk itu [...] bukankah jalur keturunannya masih ada [?] ;)

Raja Syahrul Helmi berkata...

naseb kau betulkan aku awang.. mmg pak kaduk adalah cerita asal dari seni, seperti pak pandir dan si luncai.. Pak Belalang, Mat Jeni, Lebai Malang ketara pengaruh Parsi dan Indianya...

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com