Resensi Buku: The Elementary Particles


Taufan menyerang, gempa bumi datang; mencerai, menolak mamalia-mamalia ke arah kedurjanaan. Macamanapun, planet ini, planet tua ini masih lagi berputar sedaya upaya menanggung isiannya. Molekul-molekul berlanggaran oleh ejen perlanggaran menghasilkan zat-zat baru. Ejen-ejen perlanggaran umpama Michel Houellebecq (baca: wellbeck), ejen provokator, pembenci masyarakat, sistem, dan termasuk dirinya sendiri! Yang cuba menghasilkan zat-zat baru. Atau mungkin merosakkan kita atau; mungkin hanya provokasi kepada masyarakat?

Menutup helaian terakhir naskah The Elementary Particles, kening aku terangkat dan dahi berkerut; seolah terasa yang naskah mual ini, yang dipenuhi kebencian (yang kadang lucu dan kadang keterlaluan), protagonis yang ketagihkan seks (termasuk S&M) dan jijik-jijik seks yang terperinci sifatnya lantas boleh saja membuat pembacanya ke tandas dahulu, sebelum kembali membaca helaian-helaian baru yang penuh dengan ’yang baru.’

Naskah ini ditulis dari perspektif masa depan di mana manusia yang kita kenali sama sekali terhapus. Ketika manusia klon yang tiada rasa berahi mendominasi dunia. Naratifnya cuba menumpu kepada kehidupan harian Bruno dan Michel, anak tiri dari berlainan bapa yang tak dibesarkan bersama. Bruno, antisosial, penagih seks (kadang-kadang secara berkumpulan), gagal menjadi matang, dan kemudiannya, selepas melakukan gangguan seksual terhadap pelajarnya, dia dimasukkan ke wad psikiatrik.

Adik tirinya, Michel, juga anti-sosial, gagal dalam bercinta/mencari cinta abadi, adalah saintis genetik, pemangkin kepada pengklonan yang membuang citra berahi ketika proses penciptaannya. (Tema utama novel ini)

Naskah ini adalah kebencian Houellebecq terhadap kegemilangan 60-an yang baginya tak membawa apa-apa makna kepada masyarakat kecuali hanya menghasilkan manusia yang senang untuk mendapat seks atau manusia yang susah untuk mendapat seks.

Novel pertamanya, Whatever, dipuja sehingga dengan cepat diangkat sebagai naskah cult oleh golongan kiri di Perancis manakala melalui The Elementary Particles, belum pun sempat golongan kiri menumbuk langit, mereka terpaksa pula menunduk malu, tersipu-sipu meninggalkan gelanggang sastera yang digegar dengan cemuhan Houellebecq terhadap pendukung semangat 60-an.

Sexual liberation yang gagal, rumusnya.

Dalam satu babak ketika Bruno dan Michel melawat ibunya yang nazak, Bruno membebel mengenai kaum kiri yang telah mengambil alih kandang kambing di kawasan rumah ibunya (sebab di situ selalu diadakan pesta seks); bebelnya, ”…mereka benci kambing sebab kambing konservatif, dan semua orang tahu serigala adalah sayap kiri–agak pelik sebab serigala berupa macam German shepherds dan terang-terang German shepherds ni kaum kanan yang sangat ekstrem. Siapa lagi kita harus percaya?”

Kontroversinya tak berakhir begitu saja bila seorang perempuan tua datang menuntut pembelaan kerana nama yang digunakan dalam novel sama seperti namanya, Ceccaldie, dan begitu juga jalan hidup watak Ceccaldie dalam novel, meninggalkan anak semata untuk mengembara memilih jalan hippie, yang sama dengan Ceccaldie yang hidup!

”Kalau berani guna nama aku lagi, aku akan ketuk muka dia dengan tongkat aku,” marah Ceccaldie, 86, dalam satu wawancara, ”sampai patah gigi dia.”

Tiada tindak balas dari Houellebecq untuk ibu kandungnya, mungkin kerana ketika itu dia sedang sibuk mengutip puji-pujian. The New York Times mengangkat naskah ini sebagai ’nihilistic classic,’ manakala International IMPAC DUBLIN Literary Award tahun 2002 telah meletakkan Houellebecq, termasuk penterjemahnya Frank Wynne, sebagai penulis terbaik dan secara tak langsung penulis rockstar.

Juga sebagai rasis, dia, Bruno menggambarkan seorang lelaki kulit gelap sebagai gorila kerana saiz badan dan kulit yang membuatkan Bruno tak dapat mendekati teman wanitanya. Walaubagaimanapun, Bruno akui kehebatan mereka ialah mempunyai kemaluan yang besar. Dan sebab itu juga lelaki itu digelar gorila.

Apabila melihat kehidupan Michel yang sunyi dari perempuan, menyendiri di makmal menghasilkan manusia baru-nya; ’new humanism’, aku seolah sudah merasai kekosongan si penulis yang cuba membawa kita ke dystopia-nya. Zaman akan datang, dengan peluh-peluh Michel membuka ruang pengklonan dan mencipta manusia baru yang tiada nafsu seks, seperti yang disebutkan oleh Michel (atau Houellebecq?) ketika masih bersekolah, ”hukum moral sejagat mampu membawa manusia untuk lebih bebas dan seronok.”

Seperti yang diparodikan kisah hidupnya oleh Pierre Merrot dalam The Mammals, dia seorang penulis dan idler yang mahu jadi rockstar. Cuma sebab badannya yang kurus dan kerana tahap intelektualnya, maka dia memilih menjadi penulis. Susuk yang ketagih xanax dan kuat minum sehingga ’koma’ ini mungkin mahukan hukum moral sejagat seperti moralnya.

Bagaimanapun, novel yang ditulis dari masa depan ini, ketika umat manusia yang kita fahami sama sekali terhapus, adalah didedikasikan kepada semua umat manusia. Terutamanya Melayu-Islam-Malaysia.

Atau mungkin ini provokasi?



* Tulisan ini pernah diterbitkan di jalantelawi.com sebelum terjun ke dalam Naskah Percuma.

0 comments:

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com