Siapakah Pemilik Anjing Yang Tertipu Dengan Bayang-Bayang?
Si dia yang telah bebas itu mulai merantau ke seluruh wilayah Greek. Namun demikian, dia masih dibelenggu rasa gelisah. Dia amat membenci kezaliman dan ketidakadilan pemerintah terhadap rakyat marhaen. Menggunakan kepandaiannya dalam bercerita dan mengolah cerita, dia mendedahkan tentang kezaliman para penguasa kepada rakyat dalam bentuk dongeng berkias. Cerita pendeknya banyak menggunakan watak haiwan, manusia, bintang, planet juga dewa-dewi Yunani di mana setiap cerita diakhiri dengan kesimpulan moral dan teladan kepada khalayak. Pengembaraannya dalam menyebarkan cerita-cerita oral teladan itu kemudian membawanya ke Athens yang sedang diperintah oleh seorang pemimpin despotik, Peisistratus. Sebagai penguasa zalim yang begitu membenci hak kebebasan bersuara, Peisistratus memerintahkan agar si pencerita yang semakin mendapat tempat di hati rakyat itu diberkas dan dibawa ke hadapan Oracle di Delphi untuk dibicarakan. Melalui sidang paderi-paderi Apollo itu, dia akhirnya dijatuhkan hukuman mati atas dakwaan sesat, lalu dihumban ke dalam gaung di Hypania. Pencerita bijaksana tentang moral dan teladan itu meninggal dunia dalam usia 60 tahun. Ironi sekali, cerita-cerita ciptaannya terus hidup dan dikhabar dari mulut ke mulut.
Masa tetap bergerak. Tahun 2010 AD, di tadika dalam sebuah negara jauh yang dikenali sebagai Malaysia, seorang guru sedang berdiri di hadapan para pelajarnya dan mula menceritakan sebuah dongeng teladan. Tajuknya ialah 'Anjing dan bayang-bayang'. Ia diceritakan begini.
'Seekor anjing baharu mencuri sepotong daging dari sebuah kedai dan sedang melintasi sungai dalam perjalanan pulang. Tiba-tiba, si anjing ternampak bayangnya sendiri di dalam sungai. Merasakan bahawa bayang itu adalah anjing lain bersama sepotong lagi daging, ia berasa tamak mahu mengambilnya pula. Si anjing terus terjun ke dalam sungai dan menggigit bayang daging itu, tanpa menyedari bahawa ia telah melepaskan gigitan daging sebenar tadi. Akhirnya, si anjing hilang segalanya.'
Selepas menutup buku di tangan, guru kemudian memberitahu kepada pelajarnya bahawa cerita yang dibacanya tadi adalah tentang akibat buruk bersifat tamak. Kisah anjing memberi pengajaran agar manusia tidak tergopoh-gapah melakukan sesuatu tanpa mengetahui apa yang ada di depannya. Kelak kita akan rugi, nasihat si guru. Kanak-kanak mengangguk tanda faham. Kemudian kelas beransur. Namun, terdapat satu maklumat yang tidak diketahui anak-anak tadi. Si guru langsung tidak memberitahu kepada pelajarnya siapakah pemilik kisah dongeng kiasan tersebut atau dikenali sebagai fabel. Guru juga terlupa menceritakan bahawa, lebih dua ribu tahun nan lalu, seorang tua telah ditolak ke dalam gaung kerana bercerita tentang teladan dan nilai moral kepada rakyat tertindas. Kisah anjing dan bayang-bayang itu adalah salah satu dari beratus-ratus cerita ciptaan si tua malang. Wahai khalayak, orang tua itu adalah Aesop (atau Esop, dari kata Greek Aisopos). Namanya sudah terabadi dengan dongeng-dongeng ciptaan sendiri, justeru ceritanya dikenali sebagai Aesop's Fables (Fabel-fabel Aesop).
Koleksi cerita-cerita Aesop yang dibukukan pertama kali dikesan di Perpustakaan Iskandariah sekitar 300 BC mengambil tajuk 'Assemblies of Aesopic Tales' (Himpunan Kisah-kisah si Aesop), dikumpul oleh seorang negarawan dan pemidato unggul, Demetrius Phalereus. Mengikut legenda, Aesop seorang yang hodoh dan bicaranya pula gagap. Tetapi, sekiranya kita mengambil kira sumber Plutarch bahawa masyarakat Athens mendirikan tugu penghormatan untuk Aesop, ternyata dia tidaklah terlalu buruk. Walau apapun, hakikatnya, fabel-fabel si Aesop lebih terkenal berbanding diri sang pencerita. Ia tersebar tanpa khalayak sedar. Bahkan pencerita oral masakini sudah tentu tidak tahu, mana satu fabel Aesop, mana pula yang bukan miliknya. Ia menjadi misteri seolah pencerita asalnya.
Legenda Aesop bersama cerita teladannya sentiasa akan wujud, selagi manusia memerlukan moral untuk hidup. Menjadi persoalan untuk kita, adakah kita perlu menjadi seumpama guru tersebut? Melupai diri pencerita dan hanya asyik dengan isi cerita? Mungkin guru tadi tidak tahu, tetapi akibat daripada tidak tahulah yang membuatkan manusia sering berlaku zalim. Aesop dan tragedi yang menimpa dirinya bukanlah sebuah dongeng. Sehingga kini, kita dapati sesiapa yang bercerita tentang kebenaran dan mengutuk penguasa yang menindas akan dihukum oleh negara juga kerajaan terbabit atas dakwaan sesat, penghasut dan sebagainya. Kita seolah mendapat pengajaran dari kisah hidup Aesop. Bahawa, pencerita sentiasa mati, namun kisahnya sentiasa hidup hingga ke akhir zaman. Terdapat sebuah kata perumpamaan dari Al-Quran, kitab ajaran untuk umat Islam.'Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat.'
(Ibrahim 14:25-26)
Aku ceritakan sebuah lagi fabel miliknya sebagai penghormatan buat si tua, yang mati kerana bercerita.Manusia dan Singa
Pada satu ketika, seorang lelaki dan seekor singa mengembara bersama-sama, sambil bertelagah tentang siapakah yang paling kuat dan berani antara keduanya. Sedang pertengkaran mereka semakin memuncak, mereka melalui sebuah tugu batu yang terukir singa sedang dibelenggu oleh seorang kesatria.
'Lihat di sana!' teriak pemuda, 'apa lagi bukti sahih yang menunjukkan keperwiraan kami selain daripada itu?'
'Itu cerita dari sudut pandangan manusia,' balas singa. 'Jika akulah pengukirnya, sudah tentu aku akan ukirkan dua puluh orang manusia di bawah cengkaman seekor singa.'
Akhir kalam, wallahualam.
Rujukan:
1. Aesop's Fables, Penguin Popular Classics.
2. Wikipedia & internet.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Blog Archive
-
►
2016
(8)
- ► September 2016 (1)
- ► April 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(8)
- ► Disember 2015 (1)
- ► Julai 2015 (1)
- ► April 2015 (2)
-
►
2014
(1)
- ► Oktober 2014 (1)
-
►
2013
(12)
- ► Disember 2013 (3)
- ► September 2013 (1)
- ► Januari 2013 (2)
-
►
2012
(14)
- ► Disember 2012 (3)
- ► November 2012 (2)
- ► Oktober 2012 (6)
- ► September 2012 (3)
-
►
2011
(9)
- ► Disember 2011 (1)
- ► November 2011 (3)
- ► September 2011 (1)
-
▼
2010
(33)
- ► Disember 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (1)
- ► September 2010 (1)
- ► Julai 2010 (1)
-
▼
April 2010
(15)
- Once: Sebuah apresiasi
- Puisi Mawar Marzuki dan Mohamad Farez Abdul Karim
- Chairil Anwar Dan Secebis Pemaknaan Ekspresi
- Ulas Album: The Boatman's Call
- Siapakah Pemilik Anjing Yang Tertipu Dengan Bayang...
- Lelaki Romantis Yang Kompleks: Rainer Maria Rilke
- Antara Kesenian dan Kesakitan
- Adaptasi Budaya Dalam Sastera Melayu
- Stabil, Fared Ayam : Kesakitan Yang Dilepaskan
- Puisi Zulkifli bin Mohamed dan Yong Muen
- Membaca Emily Dickinson
- Ulas filem: Into The Wild
- Resensi Buku: The Elementary Particles
- MenuIis Puisi, Meraikan Kehidupan
- Space Gambus Experiment dan Pak Samad
Tentang NP
NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com
4 comments:
mana yg lebih utama.. cerita atau pencerita?
dalam falsafah ni. akan kucerna... hehe
bagiku kedua2, walaupun cerita lebih kekal berbanding si pencerita. Watak si pencerita sekadar memberi penghormatan kepada bakat genius si dia dalam bercerita. hehe
samala ngan kisah isaac newton.
dia yg mencipta fomula f=ma.
tapi org lain yg cipta kapal terbang.
kata p.ramlee kpd aziz satar ;
"gua mahu hidup seribu tahun"
w'lapun p.ramlee sudah tiada, karya nya tetap segar dan relevan ngan masyarakat sekarang dan akan dtg.
wallahualam.