Antara Kesenian dan Kesakitan


Van Gogh selepas memotong telinganya sendiri.

Kebiasaan, apabila menelusuri wad pediatrik di mana-mana hospital, kita akan ternampak lukisan dan catan berwarna-warni yang digantung kemas pada dinding koridornya. Lukisan itu adalah hasil karya kanak-kanak yang telah ataupun sedang mendiami wad tersebut. Tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, kenapa perlu kanak-kanak itu melukis sedangkan mereka di situ untuk diubati? Apakah kaitan antara penyakit dan senilukis? Kenapa pihak hospital menjalankan 'terapi' lukisan itu ke atas pesakit-pesakit mereka?

Kajian saintis mengatakan, bayi yang didedah dengan alunan melodi klasik akan menjadi lebih kreatif apabila meningkat dewasa. Ini kerana naluri manusia itu suka kepada perkara yang lembut dan tenang. Kitab purba I Ching juga tertulis bahawa muzik itu mempunyai kuasa untuk memberi ketenangan dalaman dan mengurangkan gangguan emosi seseorang. Kita juga maklum bagaimana penulisan sajak, puisi dan cerpen juga merupakan satu bentuk pengubat hati insan yang dukalara. Seseorang itu membuat sesuatu, berkarya, kerana mereka sedang mengalami kesakitan dan kepedihan. Tidak kiralah kesakitan luaran tubuh badan atau dalaman, yakni sakit jiwa.

Bagi orang awam, sudah menjadi stereotaip dalam minda mereka bagi mereka bagaimana gambaran peribadi seseorang yang dilabel seniman. Seniman selalunya akan cuba untuk kelihatan unik dan lain dari kebiasaan. Mereka dilihat sebagai insan yang berani memakai sesuatu serta mempunyai imej menentang arus perdana. Tidak hairan jika mereka terkadang kelihatan seperti orang 'gila'. Namun, gelaran 'gila' itu adalah konotasi negatif yang terbawa oleh sifat prejudis. Betapa tidak? Stigma sosial masih membelenggu masyarakat kita terhadap golongan kurang siuman, sepertimana yang berlaku ke atas pesakit AIDS dan kusta contohnya. Padahal, ia boleh disembuhkan jika tidak pun ia boleh dikawal dari menjadi lebih parah.


Artis terkenal yang menghidap penyakit.
Setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati. Begitulah yang diceritakan melalui hadith Nabi Muhammad SAW. Kita mengenal tokoh-tokoh seniman dahulu, baik pelukis, penulis mahupun komposer lagu seperti Dostoyovesky, Holderlin, Chopin, Munch, Nietzstche, Klee, Byron, Beethoven, Chekov, Sylvia Plath dan lain-lain lagi. Namun, kebanyakan kita tidak tahu bahawa mereka ini sewaktu hidup dahulu menghidap penyakit. Lantaran, penyakit tersebut secara tidak langsung mempengaruhi bentuk karya agung mereka. Chopin misalnya, mempunyai komplikasi pernafasan dan meninggal akibat tuberkolosis. Nietzsche pula menghabiskan sisa umur terlantar sebagai pesakit mental. Seorang pelukis Sweden, Ernst Josephson mengalami perubahan dalam luahan hasil seninya dari impresionis ke ekspresionis setelah mengalami kegilaan dan mengaku diri sebagai 'Tuhan'. Henri Matisse, seorang pelukis hebat pada abad ke-20 asalnya seorang peguam bertindak menukar karier sebagai pelukis dalam masa dia terlantar sakit diserang apendisitis. Dia menganggap tempoh masa perubahan itu sebagai 'seolah syurga'. 'Aku melukis realiti hidupku', begitulah kata Frida Kahlo, pelukis sureal wanita dari Mexico. Karya beliau banyak meluahkan rasa perit dan pedih akibat menjalani hidup yang malang. Dia diserang polio ketika berusia enam tahun, menghidap sejenis penyakit tulang, spina bifida dan kemudiannya terlibat dalam kemalangan jalanraya yang mengakibatkan kepatahan tulang belakang, pelvis dan kaki kanan. Ironinya, 'nasib malang' yang menimpa Frida berkali-kali itu menjadi sumber inspirasi kepadanya sebagai seorang pelukis. Seorang lagi artis yang dipengaruhi unsur ekspresionisme, kubisme dan surealisme, Paul Klee juga adalah contoh seniman yang terus berjuang dalam kesakitan. Ketika berusia empat puluhan, Klee diserang scleroderma, satu penyakit serius yang menyebabkan pengecutan teruk pada bahagian kulit dan otot badan. Dia kemudiannya meluahkan rasa sakit ini ke dalam sebuah lakaran bertajuk Ein Gestalter. Karya itu menunjukkan dirinya dalam keadaan bersusah payah memegang pen untuk melukis. Klee terus melukis untuk menghiburkan duka laranya sehinggalah dia mati.

Berbeza pula kisahnya dengan ahli falsafah Jerman terkemuka, Immanuel Kant. Dia menjalani kehidupan dengan pelbagai disiplin yang kuat bagi menghindari sebarang jangkitan penyakit. Namun begitu, dalam waktu penghujung usianya dia mulai bersikap anti-sosial dan kemudian menjadi buta sebelum meninggal dunia pada usia 80 tahun. Kita semua mengkagumi Van Gogh, tetapi sedikit dari kita yang tahu bahawa dia tidak pernah merasai hidup kaya sebagai seniman sewaktu hayatnya. Van Gogh menghidap skizofrenia, gangguan bipolar, epilepsi juga siflis. Melalui keperitan sakit itulah dia menghasilkan karya-karya agung yang sering diingati setiap peminat seni sehingga sekarang. The Starry Night misalnya, dan beberapa lagi siri self-potret yang sedang tergantung sekarang pada dinding Muzium Van Gogh di Amsterdam, Belanda, mengambil sempena namanya sendiri.


Berkarya sebagai pengubat kesakitan.
Terapi seni adalah satu kaedah perubatan tanpa sebarang ubat-ubatan kimia. Sebaliknya, ia menggunakan cat, akrilik, pastel dan marker untuk para pesakit berkarya justeru sembuh dari penyakit yang dihidapi. Terapi seni menyatukan teori dan kaedah tradisi psikoterapeutik dengan mengambilkira pemahaman terhadap aspek psikologi dalam proses berkarya, terutamanya kesan-kesan yang timbul melalui kepenggunaan bahan seni berbeza. Itu apa yang penulis dapat melalui Wikipedia tentang makna terapi seni. Namun kita semua maklum bahawa terapi seni adalah satu kaedah perubatan bagi insan yang sedang duka. Pesakit yang sedang memerlukan kekuatan dalaman bagi meneruskan kehidupan seperti sediakala. Ada juga kes di mana pesakit mengalami trauma psikologi lantas dianjurkan terapi seni bagi membolehkan dia melawan rasa ketakutan itu. Sesiapa saja boleh menjalani terapi seni. Ini kerana setiap insan melalui suka duka permasalahan peribadi yang akhirnya membuat jiwa menjadi buntu. Kemudian, mereka akan membuat sesuatu sebagai melupakan kerungsingan itu. Eskapisme adalah jalan keluar bagi mereka yang punya masalah, baik kesakitan fizikal juga mental.

Minat dan bentuk luahan pula berbeza bagi setiap manusia. Sebagai seniman, ada yang meluah dalam bentuk penulisan prosa indah kata-kata, ada yang mendendangkan lagu merdu. Ada pula mereka yang asyik melukis dan membentuk pelbagai tugu arca bagi menyedapkan hati yang sedang gelisah. Bagi yang minat dalam bidang fotografi, mereka menggunakan kamera sebagai medium untuk menceritakan ketulusan hati budi mereka. Pengarah filem, penari, pemuisi dan lain-lain lagi. Dalam banyak-banyak karya itu, para pengkarya akhirnya memberi khalayak apa yang mereka mahukan. Kecantikan dan keindahan kehidupan itu sendiri. Baik secara maknawi atau falsafah yang tertanam bersamanya. Pengkarya yakni seniman tadi, baik amatur juga profesional mereka semuanya mengajak para pemerhati supaya menyelami isi hati mereka, lantas bersatu jiwa keduanya. Niat dan hasrat itu disalurkan dalam satu gelombang suci yang hanya difahami baik seniman mahupun penghayat tadi.

Dalam dunia seni, kesemua kita adalah pesakit yang sedang melarat. Kita sakit kerana kita sedang merasa dunia tidaklah indah seperti syurga. Kezaliman dan ketidakadilan wujud di mana-mana. Kita tidak dapat mengecap indah kekal selama-lamanya. Bak kata Dante sewaktu mengungkap makna kemurungan; 'Aku menemukan diriku dalam kegelapan, kerana aku sudah hilang arah tuju sebenar'. Begitu juga tatkala Gogol mengeksploit bentuk hidungnya yang jelik sebagai bahan satira dalam karya sendiri. Mereka, para seniman begitu gigih mengajak khalayak memerhati dunia, bukan dalam bentuk permukaan semata bahkan lebih dalam dari itu lagi. Dunia seni memerlukan penglibatan semua agar setiap dari kita merasai kesakitan yang sedang dialami dunia, dan bagaimana kita mahu mengubatinya. Kerana setiap penyakit itu ada ubatnya, bak kata-kata Baginda, oleh itu kita adalah sakit dan ubatnya, dalam masa sama.

Seni itu indah, kesakitan itu parah. Lalu kedua-duanya digaul dalam sebuah bejana yang akhirnya nanti dihirup segar sebagai air sedap dan nikmat. Penghilang dahaga khalayak. Rasa sakit tadi akan lenyap serta-merta. Bukan kerana ia tidak wujud. Kesakitan itu sebenarnya nanti akan membawa manusia ke satu tahap lain keindahan yang abadi dan hakiki. Yakni bertemu Maha Pencipta.

Seniman baik pelukis, penulis, komposer lagu, pengarah filem, penari, pemuisi, semua mereka adalah insan biasa. Mereka menghidap penyakit dan adakalanya menjalani rawatan di klinik mahupun hospital. Sudah semestinya hasil karya mereka itu tercetus akibat pengalaman hidup sendiri. Rasa gembira, sedih, suka dan duka semuanya diluah ke atas kanvas, kertas, nota muzik, bioskop, pentas dan segala macam perilaku luahan rasa yang membuatkan khalayak seni mengagumi mereka. Justeru mereka dikenali sebagai seniman yang berkarya melalui kesakitan dan keperitan hidup. Persoalannya, apakah balasan khalayak pula kepada mereka?


Akhir kalam, wallahualam.





*Gambar adalah self-portrait Vincent Van Gogh (1889) selepas insiden dia memotong telinga sendiri akibat gangguan mental.

*Artikel diedit semula dari arkib blog Ringan-ringan entri bulan September 2009.

5 comments:

Raja Syahrul Helmi berkata...

Hanya tinta yang menjadi saksi
seksa cinta di batinku ini!

haha artikel yg sangat best Farez!!

Tanpa Nama berkata...

best best...gua suka ni..best! -apish abdul

Port Saya berkata...

sangat benar. heheh...

zhfrz berkata...

tak sakit maka tak cinta

haha

menarik

Mohamad Farez Abdul Karim berkata...

kalau sakit rehat, makan ubat. ;)

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com