Ulas Album: The Boatman's Call




Jadi beginilah derita cinta. Sebenarnya ia derita yang paling indah bila digambarkan. Mungkin kerana kita mengangkat ‘cinta’ antara lelaki dan wanita itu sebagai sesuatu yang paling indah berbanding cinta-cinta lain. Bagaimana indah sekalipun cinta sang Buddha kepada semua makhluk sentien tidak akan seindah cinta saya kepada Farah. Saya menimbangkan ini sambil mendengar Nick Cave menyanyikan Into My Arms dan berfikir bila agaknya si eksentrik ini akan bunuh diri. Terbayangkan Nick menghentakkan kepalanya ke piano, piano berdarah dan semua kekuncinya merah.

Maaf jika gambaran saya agak kasar. Jika saya cuma ada pilihan antara marah dengan sedih akan saya pilih keduanya. Itulah Nick Cave. Demi masa, jika anda tidak pernah mendengar Nick Cave anda berada dalam golongan yang rugi.


Into My Arms ialah lagu pertama dalam album The Boatman’s Call yang diterbitkan oleh Mute Records sekitar 1997. Ia album kesepuluh Nick Cave & The Bad Seeds yang dianggotai oleh Mick Harvey (abang kepada PJ Harvey), Blixa Bergeld, Thomas Wydler, Conway Savage, Martin P. Casey, Jim Sclavunos dan Warren Ellis. The Boatman’s Call lebih mellow daripada album sebelumnya, Murder Ballads dan menurut Nick sendiri lebih bersifat redemtif (atau komersial bergantung kepada pegangan anda).

Apa yang ketara kurang dalam The Boatman’s Call berbanding album-album sebelumnya ialah angst. Nick seperti sudah pasrah dengan keadaan dan tidak lagi meronta-ronta menumbukkan tangannya ke angkasa (jadi impian saya untuk melihat Nick Cave menghentakkan kepalanya ke piano mungkin tidak kesampaian). Bagaimanapun ini bukanlah perubahan yang antiklimatik. Angst tidak pernah kekal lama dan tidak patutpun kekal lama. Dalam album ini Nick seperti mahu menunjukkan bahagian dirinya yang paling positif dan romantik.

Ini tidak bermakna si eksentrik Nick sudah melucut habis baju eksistensialnya. Into My Arms bermula dengan: “I don’t believe in an interventionist God.” Mungkin kenyataan yang tidak akan diucapkan dalam mana-mana lagu di negara Melayu-Islam ini, tapi di Barat tidaklah mengejutkan sangat. "Saya tidak percaya kepada tuhan yang mencampur tangan" sebenarnya samalah dengan mengatakan saya percaya kepada tuhan, tapi saya hanya mempercayai tuhan yang tidak berkehendak.

Jelas persoalan-persoalan ketuhanan masih menghantui Nick dalam album ini dan rasanya ia akan terus menghantui pencinta injil ini sampai mati. Tidak pernah ada album di mana Nick Cave tidak menyebut Tuhan, Kristus, dan lirik-liriknya masih mempunyai pengaruh psalms dari injil seperti dalam lagu There is a Kingdom dan Idiot’s Prayer. Dalam Brompton Oratory dia memetik Luke 24 untuk menimbulkan imaji kebangkitan semula Kristus. Ironinya di akhir lagu Nick bertegas tidak ada tuhan dan syaitan yang dapat menaklukinya seperti telah dilakukan si dia.


Sebenarnya pengaruh injil dalam album ini tidak seberat album-album terdahulu. Hasilnya lirik yang lebih mudah dan senang diterima oleh umum tanpa mengorbankan keindahannya, bahkan lirik-lirik dalam album ini adalah antara paling indah pernah ditulis Nick Cave. Into My Arms, (Are you) The One I’ve been Waiting For adalah antara lirik yang paling menusuk perasaan saya: I think of you in motion/ and just how close you’re getting/ and how every little things anticipates you/ all down my veins my heart string calls/ are you the one I’ve been waiting for? Tapi ini mungkin kerana sekarang saya sendiri sedang menanggung siksa yang sama dengan Nick!

Anda wajib mendengarnya sendiri, album ini dengan bunyi folk/blues/gospel instrumen minimal yang mengingatkan saya kepada Leonard Cohen dan Nick Drake dalam Five Leaves Left. Dengarkan dayu biola Warren Ellis dan feel vokal Nick Cave tanpa segan silu meminta tuhannya (yang bukan intervensionis) menghantarkan kekasih idaman ke dalam pelukannya. The Boatman’s Call adalah album yang akan membuai emosi anda. Sebuah masterpiece.

5 comments:

Kacik Kamarudin berkata...

Aku rasa Nick Cave, seperti juga Rilke yang kuat membaca Injil adalah seorang pantheist sebenarnya. Walaupun dia bertapak dalam budaya kristian. Padanya Tuhan bukanlah satu entiti tp ialah alam ini sendiri dalam seluruh jasad dan semangatnya.

Anak Bumi berkata...

pantheis ni asalnya pantheon ke? ada sesiapa boleh berkongsi?

Syahrul Helmi Mohd berkata...

pantheis adalah perkataan Greek. Pan ialah sejenis prefix yang bermaksud semua dan theis berasal dari Theo (DIO dlm latin) yg bermaksud tuhan.

maklumat lanjut di sini:
http://en.wikipedia.org/wiki/Pantheism

saat omar berkata...

Into my arms hold on...into my arms hold on...

MOLOKO berkata...

Nick Cave- an ultimute dark elegant romantism of murder ballads! Album laid back dari Cave & The Bad Seeds yang paling aku suka!

Emmm..Saat Omar pun ada!

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com