Ulas filem: Into The Wild




"I think u should watch this film bro", begitulah kata-kata Alan, kawanku seorang guru di Sarawak dalam slanga English pekat ala Ozzy, ketika menghulur sekeping dvd cetak rompak yang tertulis 'Into The Wild'. Aku geram amat. Masakan tidak? Beberapa waktu dulu aku juga telah dirayu untuk menonton filem Once, sekarang filem apa pulak ni? Aku takut untuk menonton filem kerana bagiku filem dan cerita wayang bergerak boleh mengganggu kehidupan manusia hinggakan mereka akan mula berimaginasi seraya melakonkan semula watak dalam filem yang ditonton itu. Aku hanya biarkan saja dvd tersebut di atas peti tivi hinggalah sampai ke waktu yang sudah termaktub oleh hukum Ilahi, minggu lepas, aku pun menontonnya. Tanpa rasa bersalah.
Pada Oktober 1993, seorang penulis yang bernama Jon Krakauer di dalam Outside Magazine telah menulis sebuah artikel bertajuk 'Death of an Innocent' dan tidak terlintas dalam fikirannya bahawa artikel itu akan mengubah hidupnya pada masa nanti. Melalui artikel itu, Krakauer memanjangkan lagi olahan cerita hingga menjadi novel pada 1996 dengan tajuk 'Into The Wild'. Dan hukum masa kembali mengambil tempat. Hinggalah pada tahun 2007, karya Krakauer telah diadaptasi ke dalam format filem dengan tajuk yang sama, hasil arahan Sean Penn yang juga bertindak sebagai penulis lakonlayar.

Cerita 'Into The Wild' diadaptasi daripada kisah benar seorang pemuda bernama Christopher McCandless, yang dilahir di dalam sebuah keluarga Amerika tipikal, penuh hipokrit, ibubapa yang curang ditambah pula gaya hidup materialistik. Terlalu kecewa dengan karenah ibubapa yang mahu setiap anak-anak melanjutkan pelajaran ke universiti apabila tamat kolej, McCandless mulai memberontak. Kebiasaan, remaja yang memberontak terhadap keluarga selalunya akan terjerumus dalam kelompok hidup kumpulan sub-budaya lain seperti kumpulan mat rempit, muzik keras, politik anarki dan lain-lain kumpulan yang berbeza dari arus perdana. Namun, berbeza dengan McCandless, pemuda yang terpengaruh dengan penulisan berat Tolstoy, Henry David Thoreau, Nikolai Gogol hingga ke Jack London ini mula menemui 'hakikat' kehidupan dengan satu perkara, yakni meninggalkan segala hiruk-pikuk dunia materialistik dan mula mengembara ke Alaska, satu kawasan yang terkenal untuk para pencari 'damai abadi' di kalangan rakyat Amerika. Maknanya, teori yang mengatakan hanya insan beragama saja yang menolak dunia dan kebendaan telah dinafikan oleh watak McCandless ini. Insan yang atheis ini sentiasa dalam keadaan mencari ketenangan abadi yang tak kunjung tiba, seolahnya sufi hingga memaksa dia menjalani hidup seumpama orang asli. McCandless pada peringkat awal pengembaraan bertindak mendermakan kesemua wang simpanan kepada pertubuhan kebajikan Oxfam dan mula menukar nama kepada Alexander Supertramp, seolah dia mahu 'dilahirkan' semula dalam dunia yang penuh tipudaya. Filem ini bergerak mengikut jurnal harian 'Alexander' yang dijumpai bersama mayatnya hampir tiga tahun selepas dia hilang. Ia dimulai dengan 'Kelahiran semula', 'Kematangan hidup', 'Penemuan hikmah' sehinggalah babak terakhir yang diberi tajuk "Bas Ajaib" sebelum McCandless menemui 'damai abadi' di dalam bas tersebut. Aku amat tertarik dengan lakonan Emile Hirsch yang memegang watak McCandless, bagaimana dia mengurangkan berat badan seolah 'zombie' sewaktu menghadapi hari-hari terakhir sang pencari damai. Antara banyak-banyak pelakon, hanya seorang saja yang aku kenal iaitu Vince Vaughn yang memegang watak Wayne Westerberg. McCandless bekerja dengan Wayne sebagai pemandu mesin bajak gandum sewaktu dia hendak mengumpul dana pengembaraan ulungnya itu. Wayne kemudian diberkas oleh CIA setelah terlibat dengan sindiket penipuan satelit.

McCandless meninggal ketika berumur 24 tahun. Bayangkan betapa luas pengalaman hidup yang dia peroleh melalui sekadar mengembara dan membaca buku-buku falsafah tatkala menasihati seorang pesara tentera, Ronald Franz (dilakon oleh Hal Holbrook) yang sudah tentu lebih matang dari segi umur. Katanya, "Awak salah jika memikirkan kebahagiaan hanya wujud dalam perhubungan antara manusia. Tuhan menciptakan macam-macam perkara dan rasa bahagia itu sebenarnya wujud dalam setiap ciptaan Tuhan'. Wow! Jika di Malaysia, kata-kata ini sepatutnya keluar dari mulut mufti atau imam-imam besar kita. Jadi agak mengejutkan jika perbualan ini terjadi di kalangan orang-orang yang kita label sebagai 'kafir' (Sepatutnya tak perlu terkejut pun).

Seperti aku katakan awal tadi, menonton filem boleh mempengaruhi minda kita secara separa sedar. Bayangkan saja, lepas menonton filem ini, aku terus bercita-cita hendak ke Alaska. Pujian terhadap pengarah fotografi 'Into The Wild' dalam kejayaan mereka dalam menggambarkan keindahan ciptaan Tuhan yakni lanskap Alaska yang bersalji dan bergunung-ganang. Pengambaran dijalankan dalam tempoh panjang empat musim berbeza untuk menggambarkan keunikan lanskap kawasan pergunungan yang terkenal dengan panggilan 'Devils Thumb' itu. Pujian juga aku berikan kepada 'guru' dalam muzik grunge Amerika iaitu Eddie Vedder yang bertanggungjawab mencipta beberapa lagu sebagai runutbunyi filem ini. Kedengaran begitu jelas muzik 'soul'nya terpengaruh Nusrat. Bayangkan Eddie Vedder menemui Islam, hmm.

Walaubagaimanapun, pada pendapat aku, filem ini bukan sekadar cerita anak muda yang rebel, jauh lagi mengenai falsafah theis atau atheis. Ternyata, 'Into The Wild' sebenarnya adalah kisah tentang manifestasi perjalanan hidup, bagaimana tindakbalas manusia apabila di dalam lautan kerinduan, naluri rindu untuk mencari sesuatu, Tuhan-nya, atau bukan Nya, dalam banyak jalanan berliku itu, manusia sentiasa lemas terkapai-kapai. Bahkan mereka seronok dalam keadaan lemas itu. Akhirnya, mereka menemui mati.

Selepas menonton dvd cetak rompak itu, diulangi, cetak rompak, aku terus ke dapur membancuh Alicafe secawan. Tersenyum sendirian, aku pun bermonolog dengan hatiku, 'Hidup hanya sekali, hidup hanya sekali...'
*Pernah tersiar di dalam blog Ringan-ringan pada bulan Julai 2008. Diedit semula mengikut faham si penulis, yang bersifat baharu. Selamat menjadi liar!

0 comments:

Tentang NP


NP ialah sebuah majalah blog yang cuba menerapkan bahan-bahan penulisan sastera, budaya dan masyarakat terutama oleh penulis-penulis bebas dan baru. Anda juga boleh menyumbang hasil penulisan anda dengan menghantar ke: naskahpercuma@gmail.com